PULAU PINANG 17 Jun – Pertandingan memakan durian bagi pelancong asing sempena Pesta Durian di Tapak Pesta Sungai Nibong yang sepatutnya berlangsung di sini hari ini terpaksa dibatalkan apabila para pesertanya ‘cabut lari’ sebaik sahaja terbau aroma raja buah itu.
Malah, kesemua 18 peserta dari United Kingdom, New Zealand dan beberapa negara asing itu langsung tidak berani mendekati buah berduri itu, apatah lagi untuk merasa isinya.
Sekretariat pertandingan, Akbarudin Nasurdin berkata, dia tidak menyangka ‘kejadian’ itu akan berlaku kerana pertandingan serupa pernah diadakan semasa pameran buah-buahan di Komtar.
‘‘Masa itu memang ada pelancong asing yang ambil bahagian. Walaupun tak tahan dengan bau, mereka tetap menyertai pertandingan tersebut tapi kali ini usah kata nak masuk pertandingan, kami nak bagi rasa pun tak berani mencuba,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Promosi, Hal Ehwal Korporat, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta Buah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berkata, kesemua pelancong tersebut dijemput oleh pegawai Persatuan Agensi Pengembaraan dan Pelancongan Malaysia (MATTA) menyertai pertandingan itu.
Menurutnya, kesemua mereka pada mulanya tidak keberatan untuk menyertai pertandingan tersebut, tetapi mengubah fikiran sebaik sahaja tiba di tempat acara itu diadakan.
Tambahnya, walaupun pelancong-pelancong terbabit tidak memberi alasan sebenar mereka enggan menyertai pertandingan tersebut, namun bau durian yang terlalu menyengat hidung dipercayai menjadi punca utama para peserta mengubah fikiran.
Pesta durian itu diadakan sempena Pesta Makanan dan Buah-Buahan Pulau Pinang yang turut mempertandingkan buah durian terbaik.
Johan kategori durian terbaik dimenangi oleh durian jenis D14 milik Yeoh Hoi Chooi dari Balik Pulau yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, sijil penyertaan dan piala.
Naib johan dimenangi oleh Phang Kim Hong dari Balik Pulau yang turut mempertandingkan buah durian D14 manakala durian jenis ‘Duri Hitam’ milik Ooi Chieng Sim dari Teluk Bahang mendapat tempat ketiga.
Naib johan membawa pulang wang tunai RM700 sementara tempat ketiga RM500 di samping sijil penyertaan.
Sementara itu, durian jenis Hor Lor atau Labu Air milik Tan Chong Bin dari Balik Pulau dinobatkan sebagai ‘Juara antara Juara’ dan membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil penyertaan dan piala.
Pesta durian itu dianjurkan bersama Jabatan Pertanian, FAMA dan Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri Pulau Pinang.
Source: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment