AMPANG: Walaupun sudah lapan tahun ikatan pertunangan mereka putus, malah si wanita kini mempunyai suami dan dua cahaya mata, dia berterusan trauma kerana masih diugut rogol dan bunuh oleh bekas tunangnya.
Guru wanita terbabit menerima 24 surat ugutan daripada lelaki itu yang tidak berpuas hati kerana pertunangan mereka diputuskan.
Bekas tunangnya itu juga sering mengintipnya walaupun menyedari mangsa sudah berumah tangga dan mempunyai anak.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 30-an, berkata pertunangan mereka diputuskan dengan cara baik berikutan tiada persefahaman lebih lapan tahun lalu.
“Bagaimanapun, saya tak faham kenapa lelaki itu terus mengganggu walaupun mengetahui saya sudah berkeluarga,” katanya.
Siti berkata, gangguan daripada lelaki yang dikenali sebagai Zarawi itu kini semakin serius apabila dia sering muncul di kawasan sekolah untuk mengintip gerak-gerinya.
Walaupun sudah berpindah sekolah lebih tiga kali, Zarawi yang pernah menuntut di Jepun tidak pernah jemu menakutkan bekas tunangnya itu menggunakan pelbagai cara.
“Terbaru saya menerima satu sampul surat besar yang diletakkan di atas meja saya di sekolah pada 25 Julai lalu. Saya terkejut bagaimana surat itu boleh dihantar ke meja saya tanpa menyangka ia datang daripada lelaki terbabit.
“Isi kandungan surat itu mengandungi ugutan dan pelbagai perkataan kesat.
“Walaupun tidak meletakkan nama penuh dan tandatangan di surat itu, kandungannya jelas berkisar rasa tidak puas hati terhadap saya dan keluarga,” katanya.
Selepas meneliti kandungan surat yang dicetak menggunakan komputer itu, mangsa mendapati bekas tunangnya seolah-olah masih menyimpan dendam dan cuba mengganggu emosinya.
“Dia mengugut dengan menulis ayat: ‘Abah mungkin hanya dapat lihat mayat anak bongsunya terbogel dalam semak dirogol orang’.
“Ayat itu jelas merujuk kepada saya berikutan saya anak bongsu dalam keluarga,” katanya.
Kata Siti, tambah menakutkan apabila lelaki itu menulis: ‘Saya boleh apa-apakan anak-anak awak masa awak, suami , pak mentua dan adik ipar awak tiada di rumah,’ selain menghina keluarganya seolah-olah mereka berdosa terhadapnya.
Menurutnya, kata-kata itu jelas menunjukkan lelaki ‘sakit jiwa’ terbabit berbahaya dan mempunyai niat buruk terhadap keluarganya.
Malah, Zarawi mengugut akan menghantar samseng memukul abang ipar Siti yang pernah menasihatinya supaya tidak meneruskan kerja gila itu sejak beberapa tahun lalu.
“Bekas tunang saya itu mendakwa mampu membayar upah serendah RM500 untuk membunuh sesiapa saja, termasuk saya dan keluarga,” katanya.
Lelaki yang belum berkahwin itu juga mendakwa boleh mengarahkan orang supaya melanggar bapa mentua mangsa yang sering menunggang motosikal ke surau.
Katanya, surat ugutan sama turut dihantar kepada kakak, abang ipar, rakan baik dan bapanya di kampung.
Siti berkata, lelaki terbabit sudah dua kali menceroboh kawasan sekolah untuk mengendap dan bertemunya.
“Saya pernah berbincang secara baik dan menyangka semuanya sudah selesai. Bagaimanapun, dia terus mengganggu saya dan keluarga,” katanya.
Bimbang keselamatan diri, anak serta keluarga, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amer Awal, yang dihubungi berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap kes terbabit dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya.
Source: Harian Metro
Saturday, 4 August 2007
Dendam bekas tunang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment