Funny Youtube Videos

Funny Videos with combine views of One Billion times

Click Here For FUNNY VIDEOS ON YOUTUBE

Sunday, 2 September 2007

Kasanova songsang: Amal 'seks bebas'



KUALA LUMPUR: Satu ajaran sesat yang dikenali sebagai ‘Ajaran Mengenal Allah’ kini bergerak secara agresif di sekitar ibu kota dan Selangor untuk ‘merekrut’ ahli baru, dengan sasaran utamanya kasanova dan pelayan pelanggan (GRO) yang ingin segera masuk syurga.

Ketua kumpulan itu hanya dikenali sebagai ‘Zul’, dipercayai pegawai penguat kuasa undang-undang. Dia diberi gelaran ‘Ibu’ di kalangan pengikut ajaran songsang yang didakwa menjadikan sebuah apartmen mewah di Kampung Baru, di sini, sebagai lokasi perantaraan dengan pengikutnya.

Kegiatan itu didedahkan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ain, yang bimbang akidah suaminya terpesong selepas menemui beberapa fakta yang menyimpang daripada ajaran Islam yang dipelajari suaminya sejak menyertai kumpulan itu, kira-kira 10 bulan lalu.

“Kami berkahwin lebih 30 tahun. Selama ini saya sering ‘makan hati’ kerana sikap kasanova suami. Dia memang ‘kaki perempuan’. Malah, pernah dia berkahwin baru secara senyap tetapi semua masalah berbangkit berkaitan wanita, saya yakin dapat menanganinya.

“Bagaimanapun, apabila membabitkan agama, saya ‘kalah’ dan tidak mahu bersubahat. Saya menemui banyak ajaran yang jelas menyimpang daripada Islam di dalam buku nota milik suami yang mengandungi ‘doa’ dan maklumat yang ditulis ‘Zul’,” katanya kepada Metro Ahad.

Antara ajaran yang jelas songsang ialah Allah itu bernyawa dan manusia diwajibkan mempunyai seorang isteri, tetapi dibenarkan menjalin hubungan sulit dengan ramai wanita.

Malah, ajaran itu turut menidakkan hukum Islam yang mengharamkan lelaki dan wanita bukan muhrim berdua-duaan di tempat sunyi, apabila ia ada hukum sendiri yang lelaki dan wanita dibenarkan ada di dalam satu bilik.

Ajaran itu juga memanggil Nabi Muhammad dengan panggilan Ahmad, kononnya kerana nama Rasulullah yang sebenar ialah Ahmad, bukan Muhammad.

Satu lagi ajaran kumpulan berkenaan yang berbahaya ialah semua nabi sebelum Rasulullah SAW beragama Yahudi atau Kristian yang tidak pernah bersembahyang lima waktu tetapi dijamin masuk ke syurga.

Justeru, umat Islam hari ini juga tidak perlu bersembahyang, sebaliknya hanya cukup dengan berniat untuk menjadi insan lebih baik.

Ajaran itu juga ada jampi atau mantera tertentu yang akan dibaca secara beramai-ramai di dalam perjumpaan yang diadakan hampir setiap malam, tetapi di lokasi berbeza seperti Kampung Baru, Sungai Buloh, Rawang dan Kajang bagi mengelak diserbu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kata Ain, ketika mengintip pergerakan suaminya sejak sebulan lalu, setiap aktiviti kumpulan itu hanya dihadiri antara 10 hingga 15 orang.

“Mungkin pada masa ini kumpulan mereka belum meluas dan tidak ramai pengikut. Namun, saya bimbang tarikan ‘kebebasan seks’ yang diamalkan kumpulan ini akan menarik lebih ramai orang yang ‘buta agama’,” katanya.

Mengimbas semula pembabitan suaminya di dalam kumpulan itu, Ain berkata, semuanya bermula November tahun lalu apabila suaminya yang berusia 55 tahun dan pengurus restoran lima bintang di ibu kota, berkenalan dengan ‘Zul’.

“Ketika itu rumah tangga kami menghadapi masalah selepas saya mendapat tahu suami berkahwin dengan wanita Indonesia. Sebelum itu saya tahu suami selalu bertukar teman wanita serta ada wanita simpanan, tetapi tidak sehingga tahap berkahwin.

“Bagaimanapun, selepas rahsianya terbongkar, dia berjanji untuk berubah. Akhirnya dia berjumpa ‘Zul’ yang bukannya membawa dia ke jalan benar, sebaliknya menjadi orang kuat ajaran yang saya percaya sesat,” katanya.

Ain mendakwa, berikutan terlalu taksub dengan ajaran itu, suaminya kini menghabiskan sebahagian besar masa dengan ahli kumpulan itu dan hanya pulang ke rumah tiga atau empat hari sekali, itupun hanya untuk mengambil baju dan memberi wang perbelanjaan rumah.

Katanya, dia pernah mengekori suaminya ke apartmen mewah di Kampung Baru, tetapi menunggu di bawah apartmen berjam-jam lamanya sambil memikirkan langkah yang sepatutnya diambil.

“Ini kerana, saya berseorangan untuk menyelesaikan masalah ini. Sekuat manalah kudrat saya sebagai wanita. Saya turut bimbang keselamatan diri.

“Meskipun lima anak kami sudah besar, saya tidak mahu membebankan pemikiran mereka dengan masalah yang dicetuskan bapa mereka kerana selama ini pun banyak masalah ditimbulkan,” katanya.

Ain mendakwa dia menunggu sehingga Subuh selepas mendapati kebanyakan pengikut kumpulan itu sudah pulang sebelum mengetuk pintu apartmen.

“Biasanya ‘waktu belajar’ mereka antara jam 12 tengah malam hingga 3 pagi. Ini kerana mereka bimbang diserbu pihak berkuasa. Malah, dalam buku nota suami saya ada tertulis, ‘jangan sebarkan ajaran ini tanpa mengenali seseorang itu dengan rapat’.

“Sebaik mengetuk pintu, seorang wanita berpakaian seksi berusia 24 tahun yang kemudian saya kenal pasti sebagai GRO membuka pintu. Di dalam apartmen itu, wanita itu hanya dengan suami saya.

“Apabila saya bertanya suami apakah dia tidak malu berkhalwat, sedangkan belajar agama untuk ke syurga, dia (suami) secara selamba membalas, Islam membenarkannya tetapi hanya ulama sekarang yang memutar-belitkan agama hinggakan yang mudah menjadi sukar, sekali gus menyebabkan orang kini menjauhi agama kita,” katanya.

Source: Harian Metro

No comments: