Funny Youtube Videos

Funny Videos with combine views of One Billion times

Click Here For FUNNY VIDEOS ON YOUTUBE

Saturday, 15 September 2007

Penganjur buruk siku


Cuba ‘rampas’ kereta pemenang pertandingan memancing

ALOR STAR: “Saya tiada pilihan kecuali terpaksa merantai kereta Proton Gen.2 yang saya menangi dengan rantai besi kerana penganjur mahu mengambilnya semula,” kata Che Mat Mustaffa, juara pertandingan memancing sempena Hari Kebangsaan ketika ditemui di sini, semalam.

Che Mat, 64, seorang pesara kerajaan dari Taman Indah, Pokok Sena di sini, terpaksa merantai roda belakang kereta yang dimenanginya itu pada tiang besi rumahnya sebagai langkah berjaga-jaga selepas mendapat tahu kenderaan itu mungkin diambil semula pihak penganjur pertandingan berkenaan.

Dia memenangi hadiah utama itu selepas menaikkan seekor patin seberat 8.21 kilogram dalam pertandingan memancing di Tasik Darulaman, Jitra, dekat sini, 31 Ogos lalu.

Menurutnya, tindakan itu terpaksa dilakukan bagi mengelak dia berputih mata berikutan pihak penganjur memaklumkan hasrat mengambil semula kereta itu daripadanya.

“Bukan mudah menuntut hadiah ini. Walaupun diisytiharkan pemenang pertama, penganjur memberi pelbagai alasan, malah hampir tercetus pergaduhan berpunca sikap tidak jujur mereka,” katanya.

Che Mat mendakwa dia terpaksa bertemu penganjur beberapa kali bagi menuntut hadiah, namun mereka memberi pelbagai alasan tidak logik bagi mengelak menyerahkan kereta itu.

Katanya, selepas mengadakan pertemuan dengan penganjur beberapa hari lalu, akhirnya mereka bersetuju menyerahkan kereta itu dengan memberi sepucuk surat.

“Kereta itu kini milik saya walaupun masih belum mempunyai cukai jalan dan insurans, tapi saya kecewa kerana mereka enggan membantu mendaftarkan kereta ini walaupun saya menyediakan wang untuk tujuan itu,” katanya.

Dia juga tidak faham dengan sikap penganjur yang mendakwa beberapa masalah perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum kereta berkenaan dibawa pulang.

“Saya keliru kerana tak tahu apa status kereta itu sekarang,” katanya.

Che Mat berkata, dia sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini, kelmarin mengenai masalah itu.

Pemenang kedua, Junaidi Mahmud, 37, pula sepatutnya menerima hadiah sebuah motosikal Gillera bernilai RM15,000 tetapi pihak penganjur hanya memberikannya motosikal Naza GTR 150S berharga RM7,000.

“Sepatutnya, pihak penganjur menyediakan dulu motosikal ketika pertandingan itu dan mereka tidak sepatutnya berdolak-dalik.

“Penganjur memberi alasan motosikal itu sudah ditempah, tapi belum sampai, tapi ini mungkin taktik untuk mengaburi 1,000 pemancing yang menyertai pertandingan,” katanya.

Junaidi yang bekerja di sebuah klinik kerajaan di Kepala Batas, dekat sini, turut menggesa pihak penganjur menyerahkan wang lebihan hadiah kemenangannya.

Katanya, dia hanya menerima hadiah bernilai RM7,000 iaitu harga motosikal yang diterimanya manakala wang selebihnya RM8,000 belum diserahkan.

“Ini disebabkan pihak penganjur gagal menyerahkan motosikal berharga RM15,000 seperti diuar-uarkan dalam pertandingan itu,” katanya yang membuat aduan di ibu pejabat polis daerah sama kelmarin.

Usaha Harian Metro menghubungi penganjur gagal apabila beberapa panggilan telefon tidak dijawab.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Karim Abu, mengesahkan menerima kedua-dua aduan itu.

“Kami akan membuat siasatan mengenai perkara ini. Jika ada lagi pemancing yang berasa tertipu oleh penganjur sama, mereka boleh membuat laporan dengan segera,” katanya.

Source: myMetro

No comments: