Funny Youtube Videos

Funny Videos with combine views of One Billion times

Click Here For FUNNY VIDEOS ON YOUTUBE

Tuesday, 4 September 2007

Tak hirau status


MELAKA: Pasangan ‘suami isteri’ sama jantina yang bernikah lima tahun lalu selamba berjalan beriringan keluar dari mahkamah dan menaiki kereta bersama-sama walaupun Mahkamah Rendah Syariah Ayer Keroh, dekat sini, baru saja mengisytiharkan pernikahan mereka tidak sah kerana tidak menepati syarat rukun nikah.

Malah, mahkamah juga memerintah pasangan itu difarakh atau dipisahkan kerana ‘si suami’, Mohd Sufian Mohamad, 40, atau nama dalam surat beranaknya, Mazinah Mohamad, selaku responden pertama adalah seorang wanita.

Responden pertama dinikahkan dengan Zaiton Aziz, 43, selaku responden kedua secara sah oleh Imam Satu Masjid Bukit Cina, Ishak Juki, pada Disember 2002, dan mengikut prosedur ditetapkan, termasuk ‘pengantin lelaki’ mendapat pengesahan bujang daripada sidang kampung.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 11 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002. Jika sabit kesalahan, pernikahan pasangan ‘suami isteri’ terbabit boleh dibatalkan dan mereka diarah berpisah.

Hakim Che Saufi Che Husin yang membaca keputusan kes itu selama 54 minit turut memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menukar jantina dan nama dalam kad pengenalan responden pertama kepada nama asal seperti dalam sijil beranak.

Beliau juga berkata, segala kos pengurusan itu akan ditanggung responden.

Katanya, jika responden pertama tidak puas hati dengan keputusan mahkamah, dia boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.

Keputusan mengetahui status perkahwinan pasangan terbabit dibuat selepas beberapa saksi daripada kedua-dua pihak dipanggil memberi keterangan dan penggulungan dibuat peguam bela pasangan berkenaan, Zulfiqri Zakaria dan penggulungan balas oleh peguam syarie yang mewakili Pendaftar Pernikahan, Rujuk dan Cerai Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Mohd Mokhtar Karim.

Che Saufi berkata, lima saksi yang dikemukakan plaintif memberi keterangan secara konsisten dan tidak ada percanggahan dibuat saksi termasuk dari segi pentadbiran dan aduan.

Beliau berkata, mahkamah tertarik dengan keterangan diberikan pendaftar nikah, rujuk dan cerai bahawa pihaknya memberi peluang kepada responden pertama mengemukakan bukti jika dia lelaki, jabatan itu sedia mendaftarkan pernikahannya.

Bagaimanapun, responden gagal mengemukakan bukti berkenaan menyebabkan Maim terpaksa membuat keputusan memfarakhkan mereka.

Saksi kedua, iaitu imam hanya menjalankan tugasnya sebagai jurunikah berpandukan kad pengenalan responden dan dia hanya melaksanakan tanggungjawabnya.

Sementara itu, mahkamah juga berpuas hati dengan keterangan saksi ketiga iaitu Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mengakui banyak kelemahan dialami ketika proses penukaran dijalankan kerana tiada prosedur jelas.

Beliau berkata, kejadian ini berlaku mungkin disebabkan kesilapan ketika membuat penukaran status jantina.

Che Saufi berkata, saksi keempat dan kelima adalah doktor pakar dan mahkamah menyimpulkan kemahiran mereka tidak boleh dipertikaikan.

Katanya, keterangan doktor pakar berkenaan adalah konsisten dan mengikut proses yang betul dan tidak berlaku penyelewengan.

Malah, doktor pakar itu memberitahu mahkamah tiada tanda kelelakian dan alat kelamin pada responden pertama.

Selain itu, keterangan responden kedua yang dilakukan secara tertutup menyatakan dia tidak pernah menyentuh atau melihat alat kelamin responden pertama ketika bersama-sama dengannya.

Beliau berkata, mahkamah sudah melihat semua aspek dan kepentingan hukum syarak dan enakmen serta tidak tertumpu kepada keterangan individu sahaja.

Menurutnya, adalah haram kepada sesiapa termasuk perempuan dan lelaki melakukan penukaran jantina semata-mata untuk kecenderungan, minat, suka atau ingin untuk jadi lelaki atau perempuan atau sebaliknya.

Katanya, mereka yang melakukan perbuatan berkenaan perlu dipulihkan atau dirawat dan jika melakukan persetubuhan sesama perempuan adalah zina.

Che Saufi berkata, mahkamah amat puas hati dengan segala keterangan diberikan saksi kerana ia fakta yang boleh diterima.

Sebaik dijatuhkan hukuman, pasangan terbabit kelihatan bergegas keluar dari mahkamah.

Source: Harian Metro

No comments: