Funny Youtube Videos

Funny Videos with combine views of One Billion times

Click Here For FUNNY VIDEOS ON YOUTUBE

Showing posts with label myMetro. Show all posts
Showing posts with label myMetro. Show all posts

Thursday, 27 September 2007

Nash ambil RM400,000


KUALA LUMPUR: Pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Sosilawati Lawiya, 43, membuat laporan polis mendakwa suaminya, vokalis Lefthanded, Jamaludin Elias atau Nash, 47, mengeluarkan wang tunai miliknya berjumlah RM400,000 tanpa persetujuannya.


Ahli perniagaan terbabit yang mempunyai beberapa syarikat, termasuk pengedar kereta mewah import mendakwa dia terpaksa membuat laporan polis berikutan Nash dikatakan enggan memulangkan wang berkenaan selepas perbincangan dilakukan.

Laporan polis itu sebahagian rentetan krisis rumah tangga pasangan itu yang melangsungkan perkahwinan mereka dengan penuh gemilang kira-kira 10 bulan lalu.

Terbaru, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam membenarkan permohonan Sosilawati mendapatkan perintah interim secara ex-parte (sebelah pihak) untuk membekukan dan atau menghalang sebarang urusan pemindahan berkaitan hartanya yang bernilai hampir RM1 juta.

Sosilawati turut memfailkan permohonan cerai melalui peguamnya di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur pada 18 September lalu.

Menurut sumber polis, Sosilawati membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi di sini, jam 11.45 pagi Isnin lalu, sejurus menyedari wang berkenaan sudah dikeluarkan.

Katanya, wanita terbabit sebelum itu menerima panggilan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Jalan Tun Razak, di sini, pada jam 10 pagi yang memaklumkan wang simpanannya dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan (ASW) berjumlah RM400,000 dikeluarkan artis terbabit.

Sosilawati mendakwa dia membuat laporan polis selepas menemui bukti pengeluaran wang terbabit dilakukan Nash.

Di SHAH ALAM, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Saarani Ismail mengeluarkan perintah interim itu selepas meneliti semua alasan dalam afidavit permohonan yang difailkan Sosilawati pada 21 September lalu.

Beliau juga menetapkan perintah berkenaan berkuat kuasa semalam.

Sosilawati yang hadir jam 9 pagi ditemani anaknya, Erni Erinawati Sofia, 18, membuat permohonan itu melalui peguamnya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zin.

Prosiding itu bagaimanapun dibuat secara tertutup di dalam kamar hakim dengan dihadiri peguam dan Sosilawati.

Dalam afidavitnya, Sosilawati sebagai pemohon mendakwa dia mengeluarkan cek peribadi daripada akaun sendiri berjumlah RM400,000 untuk dilaburkan dalam dua skim amanah saham atas nama Nash antara Januari hingga Mac lalu.

Menurutnya, cek peribadi berkenaan dikeluarkan untuk tujuan pelaburan iaitu cagaran kepada bank untuk mendapatkan pinjaman bagi membuka syarikat usaha sama antara dia dan suaminya (responden).

“Bagaimanapun, kedua-dua akaun itu tidak dicagarkan kepada bank seperti dirancangkan dan kedua-dua sijil masih dalam pegangan suami.

“Sebaliknya, bagi memudahkan saya dan responden menubuhkan syarikat, pinjaman modal hanya dilakukan ke atas syarikat saya, Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd,” katanya.

Sosilawati memohon perintah interim terhadap suami, wakil dan ejennya daripada melakukan apa-apa urusan, penunaian, pemindahan, pertukaran gadaian atau apa-apa transaksi ke atas hartanya.

Ia termasuk sebarang penjualan, pemberian, pajakan, gadai atau atau melupuskan apa-apa kandungan atau bahagian daripada tiga harta iaitu sijil Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernombor AQ 2198 dengan nombor akaun 09339050 bernilai RM200,000; sijil Amanah Saham Wawasan (ASW) bernombor DA2207 dengan nombor akaun 004583008 bernilai RM200,000 dan hartanah beralamat No 28, Jalan Turmalin Empat 7/12D, Seksyen 7, 40000, Shah Alam (bernilai RM480,000), ketiga-tiga atas nama Nash.

Pemohon juga meminta mahkamah memerintahkan CIMB Bank cawangan menara PNB, Kuala Lumpur, membekukan atau menghalang apa-apa urusan, termasuk penunaian atau sebarang transaksi ke atas apa-apa nilai atau jumlah bagi semua cek termasuk cek bank dan bank draf berkenaan, iaitu saham ASB dan ASW atas nama Nash sehingga perintah lain dikeluarkan mahkamah.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) juga diminta memastikan perintah berkaitan sijil ASB dan ASW itu dipatuhi manakala Pejabat Tanah Daerah diminta melindungi hartanah di Seksyen 7, Shah Alam.

Dia mendakwa permohonan itu dibuat kerana mendakwa rumah tangganya dengan Nash menghadapi syiqaq berterusan dan responden meninggalkannya sejak sebulan lalu.

Menurutnya, dia amat bimbang harta itu dikeluarkan atau dipindah milik Nash tanpa pengetahuannya kerana semua harta itu didaftarkan atas nama suaminya.

Kata Sosilawati, dia bimbang Nash akan melakukan transaksi dan menyebabkannya mengalami kerugian.

Malah, katanya, dia sudah memfailkan permohonan cerai pada 18 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur dan masih dalam proses sebutan.

Source: MyMetro

Saturday, 15 September 2007

Penganjur buruk siku


Cuba ‘rampas’ kereta pemenang pertandingan memancing

ALOR STAR: “Saya tiada pilihan kecuali terpaksa merantai kereta Proton Gen.2 yang saya menangi dengan rantai besi kerana penganjur mahu mengambilnya semula,” kata Che Mat Mustaffa, juara pertandingan memancing sempena Hari Kebangsaan ketika ditemui di sini, semalam.

Che Mat, 64, seorang pesara kerajaan dari Taman Indah, Pokok Sena di sini, terpaksa merantai roda belakang kereta yang dimenanginya itu pada tiang besi rumahnya sebagai langkah berjaga-jaga selepas mendapat tahu kenderaan itu mungkin diambil semula pihak penganjur pertandingan berkenaan.

Dia memenangi hadiah utama itu selepas menaikkan seekor patin seberat 8.21 kilogram dalam pertandingan memancing di Tasik Darulaman, Jitra, dekat sini, 31 Ogos lalu.

Menurutnya, tindakan itu terpaksa dilakukan bagi mengelak dia berputih mata berikutan pihak penganjur memaklumkan hasrat mengambil semula kereta itu daripadanya.

“Bukan mudah menuntut hadiah ini. Walaupun diisytiharkan pemenang pertama, penganjur memberi pelbagai alasan, malah hampir tercetus pergaduhan berpunca sikap tidak jujur mereka,” katanya.

Che Mat mendakwa dia terpaksa bertemu penganjur beberapa kali bagi menuntut hadiah, namun mereka memberi pelbagai alasan tidak logik bagi mengelak menyerahkan kereta itu.

Katanya, selepas mengadakan pertemuan dengan penganjur beberapa hari lalu, akhirnya mereka bersetuju menyerahkan kereta itu dengan memberi sepucuk surat.

“Kereta itu kini milik saya walaupun masih belum mempunyai cukai jalan dan insurans, tapi saya kecewa kerana mereka enggan membantu mendaftarkan kereta ini walaupun saya menyediakan wang untuk tujuan itu,” katanya.

Dia juga tidak faham dengan sikap penganjur yang mendakwa beberapa masalah perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum kereta berkenaan dibawa pulang.

“Saya keliru kerana tak tahu apa status kereta itu sekarang,” katanya.

Che Mat berkata, dia sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini, kelmarin mengenai masalah itu.

Pemenang kedua, Junaidi Mahmud, 37, pula sepatutnya menerima hadiah sebuah motosikal Gillera bernilai RM15,000 tetapi pihak penganjur hanya memberikannya motosikal Naza GTR 150S berharga RM7,000.

“Sepatutnya, pihak penganjur menyediakan dulu motosikal ketika pertandingan itu dan mereka tidak sepatutnya berdolak-dalik.

“Penganjur memberi alasan motosikal itu sudah ditempah, tapi belum sampai, tapi ini mungkin taktik untuk mengaburi 1,000 pemancing yang menyertai pertandingan,” katanya.

Junaidi yang bekerja di sebuah klinik kerajaan di Kepala Batas, dekat sini, turut menggesa pihak penganjur menyerahkan wang lebihan hadiah kemenangannya.

Katanya, dia hanya menerima hadiah bernilai RM7,000 iaitu harga motosikal yang diterimanya manakala wang selebihnya RM8,000 belum diserahkan.

“Ini disebabkan pihak penganjur gagal menyerahkan motosikal berharga RM15,000 seperti diuar-uarkan dalam pertandingan itu,” katanya yang membuat aduan di ibu pejabat polis daerah sama kelmarin.

Usaha Harian Metro menghubungi penganjur gagal apabila beberapa panggilan telefon tidak dijawab.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Karim Abu, mengesahkan menerima kedua-dua aduan itu.

“Kami akan membuat siasatan mengenai perkara ini. Jika ada lagi pemancing yang berasa tertipu oleh penganjur sama, mereka boleh membuat laporan dengan segera,” katanya.

Source: myMetro

Saturday, 28 July 2007

Luah cinta, kikis harta: Kisah Gigolo Teksi Yang Terlampau


KUALA LUMPUR: Mereka pemandu teksi sambilan tetapi digelar ‘Gigolo Touch n Go’ berikutan gemar memperdayakan segelintir wanita dengan janji manis sebelum mengikis harta benda dan meniduri mangsa.


Selepas puas melampiaskan nafsu, pemandu teksi terbabit menghilangkan diri dengan meninggalkan mangsa mereka terkapai-kapai keseorangan.

Mereka yang bijak bermain kata-kata mencari penumpang wanita selepas waktu kerja dan ketika itulah, memanipulasi mangsa dengan pelbagai cerita menyayat hati, termasuk kisah hidup yang malang.

Ada antara pemandu teksi terbabit menceritakan kononnya mereka hidup kesepian selepas bercerai dan kini menduda sedangkan pada hakikatnya masih mempunyai isteri.

Sebaik mangsa termakan dengan cerita itu, pemandu teksi terbabit menawarkan khidmat menjemput pulang dari pejabat setiap hari.

Bermula dari situ, pelbagai janji manis ditabur dan perasaan cinta diluahkan kepada wanita berkenaan.

Untuk meyakinkan mangsa, mereka turut berani bersemuka dengan ahli keluarga wanita terbabit supaya tidak timbul keraguan, malah dapat meneguhkan lagi kasih sayang mereka.

Mangsa akhirnya menuruti setiap kemahuan ‘kekasihnya’ termasuk sanggup menyerahkan tubuh dan harta benda.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Effi, 30-an, berkata pemandu teksi terbabit yang bijak bermain kata-kata dipercayai menggunakan ilmu pukau terhadap mangsanya.

Katanya, dia serta beberapa rakan pernah menjadi mangsa kepada pemandu teksi seperti itu hingga dia pernah mengandungkan anak hasil hubungan dengan seorang daripada mereka.

“Saya turut terpedaya dengan kata-kata lelaki terbabit serta sanggup menyerahkan gaji dan barang kemas kepadanya.

“Selepas mendapati saya mengandung, dia mula menjauhkan diri dan mencari mangsa baru. Saya pula terpaksa menggugurkan kandungan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Effi, ada rakannya yang kini hampir gila kerana turut ditipu pemandu teksi hidung belang hingga sanggup menyerahkan segala harta benda miliknya.

“Malah, dek mabuk dengan cinta dan janji manis lelaki itu, dia sanggup bermalam dan melakukan hubungan seks dalam teksi,” katanya.

Effi berkata, mereka tidak berani melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa kerana bimbangkan maruah diri tercemar dan diketahui keluarga masing-masing.

“Pemandu teksi terbabit menggunakan nama palsu dan sering bertukar teksi bagi mengelak dikesan,” katanya.

Menurutnya, dia kesal dengan perbuatan golongan terbabit yang sanggup mencari makan dengan cara mudah dan menipu wanita sepertinya.

“Saya ingin menasihatkan wanita yang sering menggunakan teksi supaya berhati-hati dan jangan terpedaya dengan keramahan yang ditunjukkan pemandu pengangkutan awam itu.

“Mereka sanggup menggunakan 1,001 cara untuk membuatkan hati kita menyukai mereka,” katanya.

Bijak bermain kata-kata dipercayai menggunakan ilmu pukau terhadap mangsa.

Source: myMetro