Pasangan 'Viagra' dicekup
Sepasang suami isteri yang berusia awal 40-an ditahan kerana disyaki mengeluarkan ‘Viagra’ tiruan yang dibungkus seperti gula-gula menggunakan bahan kimia Sildenafil Nitrate dicampur dengan serbuk tepung jagung, tepung gandum dan pewarna biru.
Pasangan yang dipercayai dalang sindiket mengilang produk rangsangan seks haram dan terbesar buatan Malaysia itu, menjual produk berkenaan RM20 sebungkus melalui jenama ‘Damiana’ dan Tribulus’ dan `King Go.’
Mereka hidup mewah dengan memperoleh keuntungan jutaan ringgit selain memiliki rumah serta beberapa kereta Mercedes Benz.
Sildenafil Nitrate iaitu bahan kimia aktif untuk menghasilkan ‘Viagra’, dipercayai diseludup dari India atau China.
Bahan Sildenafil Nitrate disenaraikan racun berjadual dan hanya dibenarkan penggunaannya dalam pil Viagra tulen keluaran syarikat Pfizer untuk rawatan mati pucuk.
Sumber Kementerian Kesihatan berkata, kegiatan pasangan suami isteri terbabit terbongkar selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai kewujudan sebuah kilang haram di Taman Serdang Perdana.
Hasil maklumat itu, sepasukan 20 pegawai penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan menjalankan intipan sebelum menyerbu kilang itu jam 11 pagi kelmarin.
Ketika serbuan, si suami cuba melarikan diri, tetapi dapat ditangkap bersama isterinya.
“Kami segera menjalankan siasatan di kilang itu yang didakwa syarikat pemasaran dan promosi beberapa jenama produk makanan kesihatan.
“Tindakan beberapa pekerja cuba menyembunyikan sesuatu dapat dikesan apabila satu bungkusan serbuk putih seberat satu kilogram dijumpai,” katanya.
Siasatan mendapati serbuk putih terbabit bahan kimia Sildenafil Nitrate iaitu bahan kimia aktif untuk menghasilkan Viagra yang diseludup dari India atau China.
Pegawai penguat kuasa juga menemui 3,000 kapsul berwarna biru yang disahkan sebagai Viagra tiruan.
Turut ditemui, 736 paket kecil berisi empat kapsul Viagra tiruan dengan setiap satu dibungkus seperti gula-gula untuk edaran pasaran gelap.
“Dipercayai, harga serbuk putih itu mampu mencecah hingga RM20,000 sekilogram mengikut harga pasaran gelap bagi membolehkan ia dijadikan bahan utama menghasilkan ubat rangsangan seks haram,” katanya.
Susulan operasi itu, sebuah lagi kilang milik pasangan terbabit di Pusat Perdagangan Seri Kembangan diserbu pada hari sama.
Hasil pemeriksaan, satu bilik rahsia dijumpai iaitu makmal memproses pil Viagra tiruan.
“Walaupun diarah dibuka, pekerja di situ memberi pelbagai alasan menyebabkan kami terpaksa memanjat bumbung untuk melihat barang yang disimpan di dalamnya,” katanya.
Sebaik dibuka, makmal berkenaan mengandungi pil Viagra tiruan yang dianggarkan berjumlah 7,464 biji.
“Tidak berpuas hati dengan rampasan terbabit, kami menjalankan siasatan terhadap kediaman mewah mereka di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan.
“Selepas digeledah, pegawai penguat kuasa menemui 700 paket Viagra tiruan yang siap dibungkus seperti gula-gula dengan warna bungkusan merah,” katanya.
Menurutnya, terdapat tiga jenis bungkusan gula-gula `Viagra’ menggunakan nama pelik seperti Tribulus, Damiana dan King Go.
“Setiap bungkusan Viagra tiruan itu sengaja dicetak dengan perkataan USA bagi mengaburi pihak berkuasa. Kami percaya pil Viagra tiruan itu mengandungi lebih 100 miligram Sildenafil Nitrate bagi membolehkan mereka yang memakannya mendapat kesan maksimum,” katanya.
Sumber itu berkata, mereka yang menjual atau mengedar produk haram itu boleh didenda tidak kurang RM5,000 atau dua tahun penjara mengikut Akta Racun 1957 dan denda antara RM25,000 hingga RM50,000 serta dua tahun penjara mengikut Akta Jualan Dadah Pindaan 2000.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu taksub dengan pelbagai ubat-ubatan seks yang diragui kandungannya.
Menurutnya, dalam satu kes di Kuala Lumpur, seorang wanita terpaksa dikejarkan ke hospital sejurus diberi makan sejenis ubat seks yang dibeli suaminya menerusi peniaga kaki lima.
“Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan kami mengesyaki ia mungkin berpunca daripada bahan kimia terlarang termasuk Sildenafil Nitrate atau Tadalafil. Apa yang pasti penggunaan secara berlebihan boleh menyebabkan maut, terutama jika pengguna mempunyai sakit jantung dan darah tinggi.
“Biasanya penggunaan bahan kimia itu memerlukan perskripsi doktor kerana boleh menjejaskan kesihatan jika diambil tanpa kawalan,” katanya.
Source: Harian Metro
Saturday, 14 July 2007
Gula-gula Viagra
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment